Beberapa kelebihan orang yang menghafal
al-Quran mengikut al-Quran dan As-sunnah.
Pertama : Ganjaran di dunia.
Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang
dijanjikan dalam hadis Nabi saw terhadap golongan Hamlatul Quran, terdapat juga
ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka.
1. Para penghafaz al-Quran merupakan orang yang
dimuliakan oleh Allah S.W.T
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia”. Lalu
mereka bertanya : “Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?” Jawab baginda :
“Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan
orang-orang pilihannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
2. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai
pemimpin.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Yang menjadi
imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan
dari Nabi S.A.W.
Terdapat dalam sirah selepas perang Uhud, Nabi
S.A.W mengutamakan seorang syahid yang banyak hafalan al-Qurannya. “Adalah nabi
mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian baginda bersabda
maksudnya: “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran,
ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka baginda mendahulukan pemakamannya di
liang lahat.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Al-Quran menjanjikan kebaikan.
Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah
Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud, “Orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring.” Berdasarkan
ayat ini ulama tafsir menyatakan kelebihan hafiz yang boleh membaca al-Quran
dalam setiap keadaan. Ini berbeza dengan orang yang hanya boleh
membaca melalui naskhah yang perlu disertakan dengan adab serta peraturan
tertentu
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Sebaik-baik
kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya” (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Kedua : Ganjaran di akhirat
1. Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat
kemuliaan.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa
membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua
ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu
akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di
dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada
ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah
menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat
termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki
syurga.
Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : “Barangsiapa
membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan
mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh
memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis
Riwayat Tarmizi)
2. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat
(penolong).
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia
akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya
(penghafalnya).”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah
S.A.W. bersabda,maksudnya : “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah
Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi
ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa
disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit).”(Hadis
Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).
3. Penghafaz al-Quran mendapat ganjaran
berlipat kali ganda.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa yang
membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca)
dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku
tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam
satu huruf dan mim itu satu huruf”.
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Kesimpulan
Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat
dan tersirat di dalamnya. Pelbagai kajian dilakukan daripada dahulu sampai
sekarang, berapa banyak rahsia-rahsianya telah dicungkil keluar. Kajian
terhadapnya tidak akan habis sampai bila-bila. Begitulah kelebihan yang ada
pada al-Quran, tetapi tidak ramai pun manusia yang ingin mengambilnya sebagai
wasilah kehidupan. Tambahan pula orang yang menghafal dan membacanya selalu,
maka bertambah-tambahlah keberkatan al-Quran di dalam kehidupannya dan
kehidupan orang yang dekat dengannya.
Jangan khuatir, jika kita tidak menghafal
al-Quran, boleh jadi suami kita nanti seorang yang menghafal al-Quran, atau
isteri kita, atau anak-anak kita, atau cucu-cucu kita kelak. Cuma, kita jangan
putus asa berdoa kepada Allah swt agar diberi kesempatan. Insyaallah, kita akan
merasai keberkatannya di dalam kehidupan kita semua jika al-Quran menjadi satu
cara hidup.
0 komentar:
Posting Komentar